بسم الله الرحمن الرحيم
Segala pujian adalah milik Allah tuhan yang mencipta dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam buat penghulu kami محمد dan juga buat keluarga dan para sahabat baginda yang baik dan suci
Allah ta’ala berfirman:
سُبْحَـاـنَ الَّذِى أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذي بَـاـرَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءَايَـاـتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Mafhumnya: “Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (محمد) pada waktu malam dari al-Masjidil-Haraam (di Mekah) ke al-Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Allah memberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan) Allah. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”. [Surah al-Isra’, ayat 1]
Isra’
Mukjizat Isra’ thabit dengan nas al-Qur’an dan hadith yang sahih. Oleh itu, wajib beriman bahawa Allah telah memperjalankan Nabiy محمد ﷺ (meng-isra’-kan baginda) pada waktu malam dari Mekah al-Mukarramah ke al-Masjid al-Aqsa. Sebenarnya Ahlul-Haqq (Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah) dari kalangan salaf dan khalaf yang terdiri di kalangan ahli hadis, ahli kalam (ulama tauhid), ahli tafsir, ulama dan ahli fiqh telah bersepakat bahawa peristiwa Isra’ berlaku kepada Nabiy محمد dengan jasad beserta ruh dan dalam keadaan sedar.
RasuluLlaah di-isra’-kan pada waktu malam dari rumah Ummu Hani’ di Mekah al-Mukarramah dari al-Masjidil-Haram iaitu setelah dada baginda dibelah, hati baginda dibasuh dan dipenuhi dengan hikmah dan iman sehingga baginda menjadi bersedia untuk menyaksikan pelbagai keajaiban penciptaan Allah dengan hati yang kuat.
Lalu baginda bertolak dari al-Masjidil-Haram di atas Buraq dan Jibril عليه السلام bersama-sama baginda [Buraq ialah sejenis haiwan antara haiwan-haiwan Syurga lebih besar daripada keldai dan lebih kecil daripada baghal yang boleh meletakkan kakinya di penghujung kerdipan penglihatannya].
Kemudian, RasuluLlaah dan Jibril melalui Madinah al-Munawwarah. Lalu RasuluLlaah ﷺ turun di Madinah dan mendirikan solat dua rakaat di situ. Kemudian, baginda sampai di Tur Sina (tempat Nabiy Musa mendengar kalam Allah tanpa perantaraan malaikat) lalu mendirikan solat dua rakaat.
Kemudian, baginda sampai di Madyan perkampungan Nabiy Syu’ayb, lalu baginda juga mendirikan solat dua rakaat. Kemudian, baginda sampai di Baytu-Lahm tempat keputeraan Nabiy ‘Isa ibn Maryam, lalu baginda mendirikan solat dua rakaat di situ.
Seterusnya, baginda tiba di Baytul-Maqdis dan memasuki al-Masjidil-Aqsa. Di dalam masjid ini Allah mempertemukan RasuluLlaah dengan semua para Nabiy dari Nabiy Adam dan para Nabiy selepasnya. Kemudian, baginda mendirikan solat dua rakaat dengan para Nabiy sebagai imam.
Antara Keajaiban-keajaiban Yang Dilihat Oleh RasuluLlaah ﷺ ketika Isra’:
Dunia: RasuluLlaah melihatnya dalam bentuk seorang wanita tua ketika dalam perjalanan baginda ke Baytul-Maqdis.
- Iblis: RasuluLlaah melihat seseorang yang berada di pinggir jalan, dia adalah Iblis (pada mulanya Iblis adalah daripada kalangan jin yang beriman dan dia bukanlah daripada kalangan malaikat kemudian dia menjadi kafir kerana penentangannya kepada Allah) dan dia tidak berani bercakap kepada RasuliLlaah atau berbuat jelek terhadapnya lantaran kehebatan Nabiy ﷺ telah mengalahkannya.
- Para penceramah fitnah: RasuluLlaah melihat manusia-manusia memotong lidah dan bibir mereka dengan gunting daripada api. Lalu Jibril berkata kepada baginda: “Mereka itulah para penceramah fitnah yang berceramah untuk kejahatan dan fitnah [kerosakan] iaitu mereka menyeru manusia kepada kesesatan, kerosakan, penipuan dan khianat”.
- Orang yang meninggalkan solat: RasuluLlaah melihat satu kaum memecahkan kepala mereka kemudian kepala mereka kembali seperti sebelumnya. Lalu Jibril berkata: “Itulah mereka yang kepala mereka sangat berat untuk menunaikan solat”.
Mi’raj
Sebenarnya peristiwa Mi’raj thabit dengan nas hadith-hadith yang sahih. Adapun al-Qur’an tidak menerangkan dengan nas yang sorih, tetapi disebutkan di dalam al-Qur’an suatu yang hampir menjadi nas yang sorih.
Bukanlah tujuan Mi’raj ini untuk menyampaikan Nabiy ﷺ ke suatu tempat yang didiami oleh Allah kerana Allah ada sebelum sekalian langit dan bumi. Oleh itu, Allah tidak mendiaminya. Allah ada tanpa bertempat. Bahkan maksud daripada Mi’raj ialah untuk memuliakan Nabiy ﷺ dan mengagungkan kedudukan baginda dengan memperlihatkan baginda dengan pelbagai keajaiban alam tinggi.
Adapun barangsiapa yang berpegang bahawa Allah mendiami langit atau bahawa RasuluLlaah telah sampai di suatu tempat yang ia markaz Allah ta’ala, maka sesungguhnya dia telah menyamakan Allah dengan makhluk. Ini pendustaan ke atas firman Allah ta’ala:
وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ
Mafhumnya: “Dan tiada satu pun yang seperti Allah” [Surah al-Ikhlas, ayat 4]
Dan ini juga ke atas firman Allah ta’ala:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ
Mafhumnya: “Tiada suatupun yang sama seperti-Nya” [Surah al-Syura, ayat 11]
Kemudian. Nabiy ﷺ di-mi’raj-kan ke langit. Tatkala Sayyiduna محمد bersama-sama Jibril عليهما السلام sampai ke langit pertama, lalu Jibril meminta agar pintu langit itu dibuka, maka penjaga langit pertama berkata: “Siapakah yang bersamamu?”. Jibril berkata: “محمد”.
Penjaga langit itu berkata: “Adakah sebenarnya dia dibangkitkan untuknya? (iaitu adakah dituntut untuk mi’raj?)”. Jibril berkata: “Sesungguhnya dia dibangkit untuknya”. Lalu langit pertama dibukakan untuk baginda dan Jibril dan mereka mendapati Nabiy Adam di situ. Di langit kedua baginda melihat Nabiy ‘Isa dan Nabiy Yahya عليهما السلام.
Di langit ketiga baginda melihat Nabiy Yusuf عليه السلام. Di langit keempat baginda melihat Nabiy Idris عليه السلام. Di langit kelima baginda melihat Nabiy Harun عليه السلام. Di langit keenam baginda melihat Nabiy Musa عليه السلام dan di langit ketujuh baginda melihat Nabiy Ibrahim عليه السلام.
Nabiy Ibrahim adalah orang yang paling menyerupai dengan Sayyiduna محمد dari sudut bentuk penciptaan. Nabiy Ibrahim berkata kepada RasuliLlaahﷺ: “Ajarkan umatmu agar memperbanyakkan tanaman Syurga”. Lalu RasuluLlaah ditanya: “Apakah tanaman Syurga itu?”. Baginda berkata: “لا حول ولا قوة إلا بالله” .
Antara Keajaiban-keajaiban Yang Dilihat Oleh RasuluLlaah ﷺ ketika Mi’raj:
Al-Baytul-Ma’mur: iaitu rumah yang dimuliakan. Al-Baytul-Ma’mur bagi penduduk langit yang terdiri di kalangan malaikat adalah seperti Ka’bah bagi penduduk bumi.
- Syurga: syurga berada di atas tujuh langit. RasuluLlaah ﷺ bersabda:
اطَّلَعْتُ فِي الْجَنَّةِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا الْفُقَرَاءُ
Mafhumnya: “Aku telah menjengah ke dalam Syurga lalu melihat kebanyakan penghuninya adalah golongan faqir”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim]
- Al-Hurul-‘Ayn (bidadari): RasuluLlaah telah melihat bidadari di dalam Syurga. Kemudian, Sayyiduna Jibril عليه السلام meminta baginda mengucapkan ungkapan salam kepada mereka, lalu mereka berkata: “Kami kebaikan-kebaikan yang sangat indah, pasangan bagi kaum yang mulia”.
- Nabiy melihat Sayyidina Jibril dengan bentuknya yang asal: Sebenarnya RasuluLlaah telah melihat Jibril عليه السلام buat kali pertama semasa di Mekah dengan bentuknya yang asal lalu baginda pengsan. Pada malam yang berkat ini baginda melihat Jibril buat kali kedua dengan bentuknya yang asal dan baginda tidak pengsan lantaran baginda telah ditambahkan keupayaan dan kekuatan.
Tidak boleh berpegang bahawa Allah mendekati dan menghampiri Nabiy محمد ﷺ dengan ukuran jarak. Adapun maksud daripada dua ayat yang mulia (ayat 8 dan 9 surah al-Najm) ialah Jibril عليه السلام. Dua ayat itu ialah:
ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّى (8) فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَى (9)
Mafhumnya: “Kemudian dia (Jibril) mendekatkan diri (kepada Nabiy محمد) sehingga jarak (di antara Jibril dan Nabiy محمد) menjadi sekadar dua hujung busar panah atau lebih dekat lagi”. [Surah al-Najm, ayat 8 dan 9]
Al-Imam Muslim meriwayatkan daripada Sayyidatina ‘A’isyah رضي الله عنها berkenaan firman Allah ta’ala di atas; beliau berkata: “Hanyasanya itu Jibril عليه السلام, dia pernah mendatangi baginda. Sesungguhnya dia telah mendatangi baginda pada kali ini dengan bentuknya yang bentuknya menyekat ufuk langit”
Amaran Tentang Beberapa Kisah Dusta Yang Diriwayatkan Berkenaan Isra’ dan Mi’raj:
- Tidak boleh berpegang bahawa RasuluLlaah ﷺ rasa kesepian tatkala diangkatkan ke atas langit ketujuh dan bahawa Allah berkata-kata dengan baginda dengan suara Abu Bakr al-Siddiq untuk mententeramkan baginda. Orang yang berpegang sedemikian keluar dari Islam kerana kalam Allah ta’ala bukan seperti kalam sekalian makhluk, bukan suatu huruf, bukan suatu suara dan bukan suatu bahasa.
- Antara perkara yang wajib diberi amaran ialah perkataan sebahagian manusia bahawa Nabiy tatkala di-mi’raj-kan lalu baginda sampai ke suatu tempat yang Allah berada di situ. Kemudian, tatkala baginda mahu masuk lalu dikatakan kepada baginda: “Tunggu! Kerana sesungguhnya Tuhan-mu sedang mendirikan solat”. Ini suatu kesesatan dan mengkeluarkan dari agama Islam kerana Allah ada tanpa tempat sebegaimana kami telah terangkan sebelum ini. Kemudian, Allah ta’ala tidak disifatkan bahawa Dia mendirikan solat kerana solat berlaku daripada pihak makhluk, sedangkan al-Khaliq (Allah pencipta makhluk) menyuruh agar solat didirikan. Allah-lah yang menyuruh dan yang melarang dan tiada suatu pun yang menyuruh-Nya dan tiada suatu pun yang melarang-Nya. Adapun jika kita berkata: “Allah berselawat ke atas Sayyiduna محمد”, maka maknanya: Allah menambahkan kemuliaan dan keagungan kepada baginda.
Sebahagian manusia ada berkata – wal-‘iyadhu biLlah – : “Sesungguhnya Allah bertambah mulia dengan mi’raj Nabiy kepada-Nya”. Ini juga keluar dari agama Islam kerana Allah ta’ala tidak bertambah mulia dengan sesuatupun dari makhluk-Nya. Allah ta’ala maha sempurnaذات dan sifat-Nya azaliy lagi abadiy. Allah ta’ala berfirman:
فَإِنَّ اللهَ غَنِىٌّ عَنِ الْعَـاـلَمِينَ
Mafhumnya: “Maka sesungguhnya Allah tidak berhajat sesuatupun daripada sekalian makhluk”. [Surah Al ‘Imran, ayat 97]
- Wajib juga diberi amaran tentang kata-kata sebahagian manusia: “Sesungguhnya Allah telah meletakkan tangan-Nya di atas dada Nabiy lalu Nabiy merasai kedinginan jari-jari الرحمن di atas dadanya. Kata-kata mereka ini menyanggah firman Allah ta’ala:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ
Mafhumnya: “Tiada sesuatupun yang sama seperti-Nya” [Surah al-Syura, ayat 11]
Allah tidak disifatkan dengan tubuh dan anggota badan dan tidak disifatkan dengan apa jua sifat manusia.
Jauhilah buku yang dijudulkan sebagai al-Mi’raj yang disandarkan secara bohong dan dusta kepada Sayyiduna ‘AbduLlah ibn ‘Abbas رضي الله عنهما kerana di dalam buku tersebut ada sebahagian kesesatan yang membinasakan yang tidak layak untuk disandarkan kepada Turjumanul-Qur’an. Kita memohon kepada Allah keselamatan dalam agama dan kita memohon kepada-Nya agar mengajarkan kita suatu yang kita tidak tahu, memberi manfaat kepada kita dengan ilmu yang kita tahu dan agar menambahkan kita suatu ilmu.
Faedah: Barangsiapa keluar dari Islam maka dia tidak kembali kepada Islam dengan ucapan istighfar. Bahkan, dia mesti menanggalkan kekufuran dan menyebut Dua Kalimah Syahadah iaitu:
أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمداً رسول الله
Maknanya: “Aku mengetahui, mempercayai dan mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku mengetahui, mempercayai, dan mengakui bahawa محمد itu utusan Allah”.